Bismillahirrahmanirrahim….
Assalammualaikum wrt wbt.
Khas Buatmu,
Bakal suamiku.
Perasaanku yang sering memberontak mencari kepastian sejak sekian lama telah membuatkan aku tergerak untuk menulis warkah ini kepada dirimu yang masih belum kukenali sehingga kini. Tidurku tidak pernah lena memikirkan tanggungjawab besarku yang perlu difikirkan sehingga tiba masanya. Walaupun aku sendiri tidak pasti bilakah masanya akan kunjung tiba, aku berharap catatanku ini dapat memberikan ketenangan dalam diriku yang tanpa jemu memikirkan kehadiran seorang lelaki yang akan menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata untuk dirimu. Itulah cintaku dan hatiku…
Sedaya upaya aku berusaha untuk menjaga maruah dan mahkota diriku sebaik mungkin yang akan aku serahkan kepada suamiku, iaitu dirimu suatu hari nanti…
Kadang-kadang, aku berasa gusar menantikan dirimu kerana aku takut imanku yang sedikit ini membuatkan aku leka lantas membuka pintu hatiku untuk lelaki lain. seboleh-bolehnya, aku cuba menjaga pergaulanku dengan bukan mahramku. Akan tetapi, andai ini tetap berlaku, maafkan dirku. Fikirkanlah kembali bahawa aku hanyalah teman yang dijadikan dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa memerlukan bimbingan darimu. seringkali hampir terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan. Maka selayaknya, kau lah yang muncul dalam hidupku, mendorongku ke jalan yang benar.
Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Bukanlah aku terlalu cerewet dalam mencari pasangan hidup, tetapi telah menjadi lumrah manusia yang inginkan yang terbaik dalam hidup mereka, termasuklah aku.disebabkan janji Allah itulah, aku terus berusaha untuk menjadi seorang muslimah yang baik agar aku dikurniakan lelaki yang sebenarnya untukku. Siapakah dia yang menjadi pilihanku?
Aku sedang menanti dia seorang lelaki yang bakal bergelar suamiku. Seorang mukmin yang merindui syahid di jalan Allah, yang sentiasa basah lidahnya dengan zikrullah… biarlah kau seorang yang papa, bakhil, bisu dan buta. Itu akan menyenangkanku. Papa dalam ilmu yang tidak berfaedah dan tidak berguna. Papa dalam memilki sikap-sikap mazmumah. Tetapi kaya dalam ilmu pengetahuan yang berguna, yang mampu menegakkan syiar Islam. Kau kaya dengan sifatmu yang sabar dalam menempuh onak duri kehidupan. Biarlah kau bakhil dalam memberikan senyuman kepada wanita yang bukan mahrammu tetapi amat pemurah meluangkan masamu untuk beribadat kepada Khaliqmu. Biarlah kau bisu dari mengungkapkan ucapan yang boleh meracun akal fikiran, bisu daripada perkataan yang boleh membawa kepada kekufuran. Tetapi biarlah kau lantang dalam menyuarakan kebenaran dimuka bumi ini. Biarlah matamu buta daripada melihat maksiat dan perkara-perkara lagha. Buta daripada melihat aurat wanita-wanita ajnabi. Tetapi matamu sentiasa terang menyaksikan keagungan Tuhanmu. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.
Aku mengimpikan dirimu yang mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.
Aku tidak pernah mengimpikan kemewahan dunia.Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan kepadaku selama ini. Aku tidak akan sekali-kali membenarkan dirimu menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Juga akan melalaikan aku dengan harta dunia yang banyak itu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.
Dariku,
Bakal isterimu...
No comments:
Post a Comment