Merdekakah kita
Apabila selera lebih terbuka pada spaghetti, pizza dan burger
Sedangkan geli untuk menyentuh cencalok, budu dan tempoyak?
Merdekakah kita
Apabila McDonalds, Kentucky Fried Chicken, Burger King, dan Kenny Rogers Roaster menjadi pilhan hati,
Sedangkan masih banyak lagi restoran-restoran muslim yang menanti-nantikan kehadiran kita sebagai pelanggan?
Merdekakah kita
Apabila terus mendewa-dewakan artis-artis barat, Bradd Pitt, Britney Spears, dan Michael Jackson
Sedangkan lupa akan nama-nama nabi dan rasul?
Merdekakah kita
sekiranya lebih mengagung-agungkan tokoh-tokoh sarjana barat
Edward de Bono, John Maxwell, Samuel Hatington,
Sedangkan tokoh-tokoh ulama muktabar seperti as-Shafie, an-Nawawi dan al-Ghazali tidak dikenali?
Merdekakah kita
Apabila lantang menyanyikan lagu-lagu rock, heavy-metal, dan rap
Sedangkan kekok sekali untuk menyanyikan lagu-lagu tradisional seperti ghazal, dondang sayang dan nasyid?
Merdekakah kita
apabila si kecil sayang meminati hero-hero ciptaan barat
Superman, X-Men, Spiderman, dan Harry Potter
Tetapi tidak tahu sama sekali hero-hero agama Umar Abdul Aziz, Salahuddin al-Ayubi dan Hassan al-Banna?
Merdekakah kita
Seandainya lebih mengingati lirik-lirik lagu artis-artis tempatan daripada mengingati surah-surah lazim?
Merdekakah kita
seandainya lebih suka untuk menonton filem-filem tempatan dan luar Negara daripada membaca cerita-cerita tentang perjuangan Rasulullah dan para sahabat?
Merdekakah kita sebenarnya?
Anak-anak yang mengaku merdeka,
Sedarilah fenomena realiti,
Usah terus diulit arus fantasi,
Bukalah mata,
Bersuaralah hati,
Jauh di sudut jiwa,
Merdekakah kita?